Tuan Mukhtar Bogor rahimahUllah
Tuan Mukhtar Bogor : ‘Ulama Ahli Syariat & Haqiqat
(oleh: almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir rahimahullah)
DI MEKAH pada satu ketika dulu sekurang-kurangnya ada tiga orang
ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menguasai banyak bidang disiplin
ilmu. Ketiga-tiganya pula adalah merupakan yang paling ramai muridnya, terutama
bagi masyarakat dunia Melayu.
Yang pertama, ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani
(1272 H/1856 M – 1325 H/1908 M). Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih
kurang 25 tahun, mulai 1300 H/1882 M hingga tahun 1325 H/1908 M. Yang kedua
Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minankabawi (1276 H/1860 M – 1334 H/
1916 M). Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 29 tahun, mulai 1305
H/1888 M hingga tahun 1334 H/1916 M. Yang ketiga ialah ulama yang diriwayatkan
ini, nama lengkap beliau ialah Syeikh Muhammad Mukhtar bin `Atharid al-Bughri
al-Batawi al-Jawi. Lahir di Bogor, Jawa Barat, pada hari Khamis, 14 Syaaban
1278 H/14 Februari 1862 M, wafat di Mekah, petang Ahad, 17 Shafar 1349 H/13
Julai 1930 M. Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 28 tahun, mulai
1321 H/ 1903 M hingga tahun 1349 H/1930 M.
Sungguh pun Tuan Mukhtar Bogor menguasai banyak bidang disiplin
ilmu termasuk ilmu-ilmu hadis, yang sering dibicarakan terutama oleh golongan
tajdid, namun beliau tetap berpegang dengan Mazhab Syafie, pengikut setia
Mazhab Ahlis Sunnah wal Jamaah aliran Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu
Manshur al-Maturidi. Dalam tasawuf tetap berpegang kukuh dengan imam-imam kaum
sufi yang muktabar seperti Imam Abu Qasim Juneid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali,
dan lain-lain.
PENDIDIKAN
Beliau memperoleh pendidikan dari orang tuanya sendiri, terutama
tentang al-Quran sekaligus beliau hafiz kitab suci Islam itu. Dalam tahun 1299
H/1881 M melanjutkan pelajarannya di Betawi/Jakarta, belajar kepada al-`Allamah
al-Habib Utsman bin Aqil bin Yahya, Mufti Betawi. Melalui ulama Arab keturunan
Rasulallah s.a.w tersebut Tuan Mukhtar Bogor hafal matan-matan ilmu yang
pelbagai. Matan-matan itu ialah: Matn al-Milhah, Matn al-Alfiyah dan Matn
al-Qathar semuanya dalam bidang ilmu nahu, Matn al- Ghayah wa at-Taqrib, Matn
al-Irsyad, Matn az-Zubad semuanya dalam fikh dan termasuk juga akidah. Ketika
belajar di Betawi juga, Tuan Mukhtar telah mahir dalam riwayat-riwayat ilmu
Qiraat.
Ulama-ulama yang pernah mengajar Tuan Mukhtar, yang bersanad,
yang beliau sebut dalam tulisannya, ialah: Sayyid Muhammad Amin bin Sayyid
Ahmad ar-Ridhwan al-Madani, Sayyid Abu Bakri Syatha dan saudaranya Sayyid Umar
Syatha, Sayyid Abdul Karim an-Naji ad-Daryandi, Syeikh Muhammad bin Sulaiman
Hasbullah al-Makki, Syeikh Mushthafa Afifi dan Syeikh Muhammad Zainuddin
al-Jawi as-Sumbawi. Ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa, Indonesia ini
menghasilkan beberapa buah karangan di antaranya yang masih diajarkan sampai
sekarang ialah Sirajul Huda (akidah) dan Minhajus Salam (fikh). Guru-guru yang
lain beliau sebut pula Syeikh Muhammad al-Minsyawi, Sayyid Umar as-Syami,
Sayyid Husein al-Habsyi, Sayyid Yusuf an-Nabhani, Sayyid Muhammad bin Ja’afar
al-Kattani dan Syeikh Abdul Qadir al-Halabi.
Ada beberapa buah kitab yang dikhatamkan Tuan Mukhtar di bawah
bimbingan Syeikh Ahmad al-Fathani, kitab-kitab itu ialah Fathul Mu’in dan
syarahnya I’anatuth Thalibin. Kedua-dua kitab itu adalah mengenai fikh yang
sekaligus Tuan Mukhtar belajar juga kepada Sayyid Abu Bakri asy-Syatha, iaitu
pengarang kitab I’anatuth Thalibin itu. Kitab fikh Mazhab Syafi’ie yang
besar-besar Tuhfah dan Nihayah, Tuan Mukhtar juga belajar kepada Sayyid Abu Bakri
asy-Syatha. Tuan Mukhtar Bogor juga secara langsung khatam dua buah kitab karya
Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri. Yang sebuah dalam bahasa Arab, iaitu Tashil
Nail al-Amani tentang nahu. Yang bahasa Melayu ialah Faridatul Faraid tentang
akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Mengenai ilmu hadis terutama kitab Shahih
al-Bukhari dan Shahih Muslim, Tuan Mukhtar belajar dari awal hingga akhir
kedua-dua kitab itu kepada Sayyid Husein bin Sayyid Muhammad al-Habsyi.
Mengenai ilmu tafsir pula Tuan Mukhtar belajar kepada Syeikh Muhammad bin
Sulaiman Hasbullah al-Makki. Sayyid Husein bin Sayyid Muhammad al-Habsyi dan
Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki juga adalah guru kepada Syeikh
Ahmad al-Fathani.
MENGAJAR
Dalam catatan sejarah Tuan Mukhtar Bogor adalah seorang yang
sangat rajin belajar, mengajar, membaca dan sangat kuat beramal. Praktik
mengajar dilakukan di Masjid al-Haram dan di rumah beliau sendiri. Mengajar di
Masjid al-Haram dilakukan antara Maghrib dan Isyak. Dan sesudah Isyak disambung
lagi. Yang hadir ketika beliau mengajar di dalam Masjid al-Haram sekitar 400
orang yang terdiri dari para pelajar dan termasuk para ulama.
Biasanya beliau mengajar sesudah Subuh, jika di rumah, ialah
ilmu nahu, ilmu sharaf dan balaghah. Sesudah Asar mengajar kitab Ihya’ Ulumid
Din karangan Imam al-Ghazali. Pelajaran yang singkat tentang ilmu falak dan
miqat dilaksanakan pada hari Selasa, iaitu mengajar kitab susunan beliau
sendiri.
Setiap malam Jumaat, Tuan Mukhtar Bogor mengadakan majlis zikir
dan doa yang ramai manusia menyertai majlis itu. Setiap selesai melakukan zikir
dan doa diiringi dengan jamuan makan secara berjemaah.
Selain melakukan zikir dan doa berjemaah Tuan Mukhtar Bogor
memang dikenali sebagai seorang yang zahid, banyak melakukan ibadat, banyak
membaca selawat atas Nabi s.a.w, banyak membaca al-Quran dan lain-lain
sejenisnya. Sungguhpun Tuan Mukhtar Bogor berkekalan membaca al-Quran sebagai
amalan, namun beliau masih mampu mengamalkan zikir-zikir jenis Thariqat
Qadiriyah dan Thariqat Naqsyabandiyah.
Selain hal-hal yang tersebut di atas Tuan Mukhtar Bogor juga
dikenali sebagai seorang yang pemurah, beliau menampung para pelajar yang tiada
berkemampuan dengan bimbingan pelimpahan ilmu, sekali gus diberi makan dan
pakaian seperti yang beliau lakukan terhadap keluarganya sendiri.
Di antara murid-murid Tuan Mukhtar Bogor yang menjadi ulama
besar yang mendapat tempat dalam masyarakat ialah: Haji Abdullah Fahim, Mufti
Pulau Pinang, Tengku Mahmud Zuhdi, Syeikh al-Islam Selangor, Sayyid Muhsin bin
Ali al-Masawi, pengasas Madrasah al-Ulumid Diniyah, Mekah, Kiyai Ahmad Dimyathi
bin Abdullah at-Tarmasi (adik Syeikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi yang sangat
terkenal), Kiyai Haji Hasyim al-Asy’ari, pengasas Nahdhatul Ulama Indonesia,
Kiyai Haji Manshur bin Abdur Rahman Bogor al-Batawi, Sayyid Muhammad Ahyad bin
Idris Bogor, ulama ini adalah menantu kepada Tuan Mukhtar Bogor, Syeikh
Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani (Padang), Tuan Guru Haji Muhammad Zain bin
Tama Kajang (1324 H/1908 M – 1413 H/ 1992 M) dan ramai lagi. Sewaktu artikel
ini saya tulis masih ramai murid Tuan Mukhtar Bogor yang masih hidup, di
antaranya di Malaysia ialah Tuan Guru Haji Hasyim (Pimpinan Pondok Pasir
Tumbuh, Kelantan), Tuan Guru Haji Abdullah bin Abdur Rahman (Pimpinan Pondok
Lubuk Tapah, Kelantan). Selain yang masih hidup di Malaysia juga masih ramai di
Patani, Indonesia dan di Mekah. Semua murid Tuan Mukhtar Bogor yang masih hidup
pukul rata yang berusia melebihi usia 80 tahun ke atas.
PENULISAN
Syeikh Muhammad Mukhtar Bogor menghasilkan karya yang tersebar
berupa cetakan ada yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Yang telah
diketahui dan dijumpai adalah sebagai yang tersebut di bawah ini:
Taqribul
Maqshad fil Amali bir Rub`il Mujaiyab, diselesaikan hari Khamis, 15 Syaaban
1308 H. Kandungan membicarakan ilmu falakiyah. Cetakan kedua Mathba’ah
al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1331 H. Dicetak juga oleh Mathba’ah Mushthafa
al-Baby al-Halaby, Jumadil Awwal 1347 H. Selain cetakan sebuah manuskrip
salinan yang ditemui, pada akhir salinan dinyatakan, “Saidi wa Ihsan Haji Abdur
Rahman bin al-Haji Ibrahim Khathib Melabuh al-Jawi min ahali al-Juhur Baharu”.
Maksudnya Saidi dan Ihsan bin Haji Abdur Rahman bin Haji Ibrahim, Khathib
Melabuh yang berasal dari kekeluargaan Johor Bahru. Salinan telah dilakukan pada
tengah hari Rabu, 15 hari terakhir bulan Rejab 1313 H.
Ushulud Din I’tiqad Ahlis Sunnah wal Jamaah, diselesaikan hari Khamis, 24 Zulkaedah 1323 H. Kandungan membicarakan akidah, sifat dua puluh. Dicetak oleh Mathba’ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1330 H.
Ar-Risalatul Wahbatil Ilahiyah fi Bayani Itsqati ma’alal Maiyiti minal Huquqi was Shiyam was Shalati, diselesaikan malam Ahad, 2 Muharram 1327 H. Kandungan membicarakan fidyah sembahyang, puasa dan lain-lain. Dicetak oleh Mathba’ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1330 H. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.
As-Shawa’iqul Muhriqah lil Auhamil Kazibah fi Bayani Hillil Baluti war Raddu `ala man Harramahu, diselesaikan: Malam Isnin, 8 Muharram 1329 H. Kandungan membicarakan hukum boleh makan belut. Dicetak oleh Mathba’ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1329 H
It-hafus Sadatil Muhadditsin bi Musalsalatil Ahaditsil Arba’in, diselesaikan: 8 Rabiulawal 1345 H. Kandungan membicarakan berbagai-bagai sanad/silsilah keilmuan dan amalan. Dicetak oleh Mathba’ah Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyah, Mesir, Jumadilawal 1345 H Ditashhih oleh Syeikh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.
Khutbah al-Jumaat, tidak terdapat kenyataan tahun penulisan. Kandungan Khutbah Jumaat, khutbah yang pertama dan khutbah yang kedua. Dicetak tidak terdapat nama percetakan.
Kitab ad-Durril Munif fi Syarhil Wirdil Lathif, tidak terdapat kenyataan tahun penulisan. Kandungan membicarakan wirid, zikir, doa, dan lain-lain. Cetakan yang pertama Mathba’ah at-Taraqqil Majidiyah al-‘Utsmaniyah, atas perbelanjaan pemiliknya Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki, 1330 H.
Mukhtashar Kitab ad-Durril Munif fi Syarhil Wirdil Lathif, tidak terdapat tahun penulisan. Kandungan membicarakan wirid, zikir, doa, dan lain-lain. Dicetak oleh Mathba’ah al-‘Arabiyah, Mekah, 13/2/1352. Pada halaman 7 pengarang mencatatkan bahawa syarah kitab ini dicetak pertama kali di Mekah tahun 1330 H dan cetakan yang kedua, tahun 1345 H di Mesir. Bahawa beliau telah mencantumkan 30 hadis berserta dengan syarahnya di dalam kitab tersebut.

0 komentar:
Posting Komentar